CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
Leelou Blogs

SERAM!!! Penyingkap Fakta "666"

Bersama Mazidul

sharing is caring Lily's CLICK [@ your fingers]

Taksub bawa kemusnahan

TERKENANG saya sebuah kisah humor Arab Mesir yang diceritakan dalam pelbagai versi. Dua lelaki Arab Mesir yang terlihat bayang-bayang seekor binatang. Si A berkata: “Itu bayang-bayang keldai”. Si B pula berkata: “Itu bayang-bayang burung”. Lalu mereka bergaduh kerana cuba menegakkan tekaan masing-masing. Tiba-tiba binatang tersebut terbang. Si B berkata “Kan aku dah cakap, bayang-bayang tadi adalah burung”. Tetapi si A tetap bertegas, “Bayang-bayang tadi adalah keldai dan keldai memang boleh terbang”.

Moralnya; Akibat terlalu fanatik, keldai pun boleh terbang.

Fanatik dan taksub adalah perkataan sinonim yang bermaksud keterlaluan pada sesuatu pegangan atau pendirian. (Lihat Kamus Dewan Edisi Empat). Sifat ini dapat dikesan apabila seseorang bertindak menolak segala sesuatu yang tidak selari dengan pegangan atau pendiriannya tanpa analisis dan usul periksa. Sabda Nabi s.a.w: “Berhati-hatilah kamu dengan sikap fanatik dalam agama, sesungguhnya generasi terdahulu musnah akibat fanatik.” (Riwayat Ibnu Majah, no: 3029) Realitinya, pada hari ini kefanatikan berlaku pada pegangan agama dan politik. Menurut Islam, agama yang benar akan meluruskan politik. Maka meninggalkan agama yang benar bererti menghancurkan politik. Oleh itu, agama perlu diberi perhatian lebih berbanding isu yang lain. Sikap kita yang mementingkan profesionalisme dalam urusan kedunian semata-mata adalah tidak adil. Sedangkan urusan agama dianggap ‘second class’ sehingga membuka ruang untuk ‘ustaz touch n go’ berdakyah. Akhirnya mereka popular dan membina empayar sehingga benih-benih fanatik disemai. Fanatik guru agama Fanatik kepada guru agama merupakan fenomena bahaya. Semua perkataan gurunya benar walaupun berdusta. Semua ulasan gurunya tepat walaupun menyeleweng. Gurunya ulama, orang lain ‘ular dalam semak’. Gurunya ikhlas, orang lain ulama upahan. Gurunya bijak, orang lain bodoh. Gurunya berakal, orang lain gila. Gurunya di syurga, orang lain di neraka! Mungkin kenyataan di atas agak melampau, tetapi itulah hakikatnya, Al-Ruwaibidhoh berjenaka di pentas-pentas agama. Kenyataan palsu, fitnah, biadab, melulu dan sembrono menjadi penghias diri mereka. Sabda Nabi s.a.w: ‘Akan datang pada umatku tahun-tahun yang dipenuhi dengan penipuan, orang bercakap benar dikatakan berdusta, manakala pendusta dikatakan bercakap benar. Orang beramanah pula dituduh pengkhianat, manakala pengkhianat dikatakan orang yang beramanah. Ketika itu, golongan al-Ruwaibidhoh akan bercakap. Sahabat Nabi bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidhoh?, Nabi SAW bersabda: “Seorang yang tidak berilmu tetapi bercakap tentang urusan manusia.” (Riwayat Ibnu Majah, no:4036) Lebih mendukacitakan, apabila berhujah, si guru seringkali mencabul perkataan ulama dan kitab. Katanya, “Semua ulama telah bersepakat, ulama dah setuju, ulama besar dah nyatakan dan yang seumpama dengannya.” Katakan kepada guru seperti ini: “Ulama mana?” Kitab mana? Rujukan mana? Dalilnya mana?” Jangan biarkan guru seperti ini terus berseloka di pentas ilmu. Jika tidak mampu berikan nama-nama ulama, kitab dan sumber rujukan, maka janganlah si guru sewenang-wenangnya mempertikaikan pendapat orang lain. Walaubagaimanapun, sesiapa sahaja yang bertanggungjawab dalam menyampaikan agama hendaklah bersikap amanah bukan khianat, berakhlak dan bukan biadab.

Terbuka minda Hormat menghormati, bersangka baik dan menerima teguran adalah sikap terpuji yang perlu diterapkan pada setiap ilmuan juga penuntut ilmu. Sikap seperti ini akan menjadikan mereka bersedia untuk menerima sebarang kritikan juga perbezaan pendapat. Jika tidak, kritikan dan perbezaan pendapat akan dianggap sesat, pemecah belah, bodoh dan sebagainya. Antara punca perkara ini terjadi adalah ramai orang tidak dapat membezakan antara menjelaskan hukum sesuatu amalan dengan menghukum pelakunya. Sesiapa yang memiliki ilmu, maka dia berhak bahkan bertanggungjawab menjelaskan hukum tetapi dia tidak berhak untuk menghukum si pelaku kecuali dia merupakan seorang hakim atau kadi.


Sebagai contoh, seorang penunggang motosikal ditegur oleh rakannya kerana tidak memakai topi keledar. “Pakailah topi keledar tu, nanti kena saman baru tau.” Rakannya hanya memaklumkan hukuman orang yang tidak memakai topi keledar. Tetapi yang akan menghukum adalah polis. Sama seperti hal di atas.


Dajal tolak hadis lemah Begitu juga, prinsip yang perlu kita fahami iaitu "meninggalkan pendapat seseorang bukan bererti kita menghinanya”. Kadangkala prinsip ini diabaikan oleh sebahagian guru-guru agama yang tidak bertanggungjawab. Contohnya dalam isu beramal dengan hadis lemah untuk fadilat amal. Ada guru agama tertentu berkata: “Jumhur ulama berkata boleh beramal dengan hadis lemah untuk fadilat amal. Cuma ada puak dajal mengharamkan beramal dengan hadis-hadis lemah.” Kenyataan seperti ini sangat berbahaya, prejudis, tidak ilmiah bahkan menyeleweng. Walaubagaimanapun, kita meletakkan sangkaan baik kepada si guru kerana mungkin beliau tersilap atau jahil atau tersasul. Memang benar jumhur ulama mengharuskan kita beramal dengan hadis lemah tetapi mengharamkan beramal dengan hadis lemah adalah para ulama hadis sangat tersohor, bukan dajal! Antaranya; Yahya bin Ma'in (w.232H), Al-Bukhari (w.256H), Muslim (w.261H), Abu Zur'ah Ar-Razi (w.264H), Abu Hatim Ar-Razi (w.277H), Ibnu Hibban (w.354H), Ibnu Hazm Al-Andalusi (w.456H), Abu Bakar Ibn Al-'Arabi (w.543H) dan Muhammad bin 'Ali As-Syaukani (w.1255H). Adakah semua ini Dajjal? Adakah Imam al-Bukhari dan Muslim dajjal? Bertaqwalah kepada Allah. Oleh itu, sesiapa pun tidak perlu bimbang dengan percambahan ilmu dan perbezaan pendapat. Selama mana kita masih berpijak di atas jalan Nabi s.a.w dan sahabat, maka hendaklah berlapang dada dalam berselisih. Jangan biarkan diri ini diracuni dengan benih-benih fanatik sehingga keldai dikatakan burung.

Penulis berkelulusan Sarjana Usuluddin Hadis, Universiti Yarmouk, Jordan









"ReAdInG wItH pLEaSuRe" SuKa?? LIKE OK!!

0 000 org nk tau...:

Post a Comment

DrOp yOuR cOmMeNtS HeRe!, If HaPpY PlEaSe "LIKE"

There was an error in this gadget